di sana pasti

Esok pasti ada tetapi esok belum pasti untuk kita. Beringat-ingatlah untuk menghadapi esok yang pasti mendatang.



03:23

KAMI TETAP GEMBIRA

Posted by Ahmad Tauffik Ag Laiman AT TAMAUE


kami penutut sabah mesir mengucapkan selamat menyambut aidil adha buat keluarga yang berada di kampung halaman.

04:07

HIKMAH IBADAH KORBAN

Posted by Ahmad Tauffik Ag Laiman AT TAMAUE



Hari raya Aidiladha merupakan salah satu dari hari kebesaran dan perayaan bagi seluruh umat Islam.

Anas bin Malik r.a berkata: Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lali baginda bersabda:

إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الأَضْحَى وَيَوْمَ الْفِطْرِ

Maksudnya:
“Sesungguhnya ALLAH telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” - Hadis riwayat al-Nasaai, di dalam Sunan al-Nasa’i, hadis no: 959.

Aidiladha juga diberi gelaran sebagai hari raya haji kerana ia diraikan ketika umat Islam mengerjakan salah satu dari amal ibadah yang termasuk di dalam rukun Islam yang lima, iaitu ibadah haji. Di samping itu, Aidiladha juga dikenali sebagai hari raya korban kerana antara syiar semasa merayakannya adalah mengorbankan haiwan seperti unta, lembu, kambing dan biri-biri.

Ibadah korban dilakukan sempena memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s yang sanggup menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail a.s kerana taat kepada perintah ALLAH. Namun, berkat kesabaran serta ketaatan kedua-dua ayah dan anak ini maka ALLAH telah menggantikannya dengan seekor binatang ketika Nabi Ibrahim sudah bersedia menyembelih anaknya itu. Peristiwa ini telah dirakamkan oleh ALLAH sebagaimana firman ALLAH S.W.T:

“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku akan menyembelihmu. Apakah pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya ALLAH, ayah akan mendapati aku termasuk orang-orang yang sabar.
Setelah kedua-duanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah ALLAH itu), Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah. (KAMI sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah KAMI).

Lantas KAMI menyerunya: Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya KAMI membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.
Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata dan KAMI tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar serta KAMI kekalkan baginya (nama yang harum) di kalangan orang-orang yang datang terkemudian.” – Surah al-Soffaat: 101-108.

Rentetan dari peristiwa ini, saban tahun ketika merayakan hari raya Aidiladha maka umat Islam menyembelih binatang-bintang korban lalu mengagih-agihkannya kepada golongan yang kurang bernasib-baik seperti orang miskin, anak yatim, orang Islam yang sedang ditimpa musibah dan lain-lain lagi.

KEUTAMAAN MENGERJAKAN IBADAH KORBAN

Ibadah korban ini memiliki keutamaan yang begitu besar bagi mereka yang mengerjakannya.

Firman ALLAH S.W.T:

“Dan KAMI jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar agama ALLAH untuk kamu; pada menyembelih unta itu ada kebaikan bagi kamu. Oleh itu, sebutlah nama ALLAH (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya. Setelah ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah KAMI memudahkannya untuk kamu (menguasai dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.

Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada ALLAH. Tetapi, yang sampai kepada-NYA ialah amal yang ikhlas berdasarkan takwa daripada kamu. Demikianlah DIA memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan ALLAH kerana mendapat nikmat petunjuk-NYA. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.” – Surah al-Haj: 36-37.

Melalui ayat di atas dapat kita senaraikan beberapa keutamaan ibadah korban seperti berikut:

1) Ibadah korban dapat membawa kebaikan dalam kehidupan bermasyarakat dengan mempereratkan hubungan kasih sayang antara golongan yang kurang bernasib baik seperti golongan fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal dan seumpamanya dengan golongan yang bernasib baik melalui pengagihan daging-daging korban.

2) Ibadah korban berupaya membentuk insan yang bersyukur melalui penyembelihan haiwan korban yang dilakukannya dengan menggunakan hasil rezeki tersebut dalam rangka beribadah dan mendekatkan diri kepada ALLAH.

3) Ibadah korban dapat membentuk jiwa yang ikhlas kerana sejumlah wang ringgit telah dibelanjakan demi mendapat keredhaan ALLAH.

4) Ia juga merupakan bukti ketakwaan kita kepada ALLAH kerana menurut perintahnya.

5) Ibadah korban merupakan amalan mulia dan sesiapa yang menunaikan ibadah tersebut bakal mendapat ganjaran paling baik, iaitu syurga.

16:08

penampar sebagai jawapan

Posted by Ahmad Tauffik Ag Laiman AT TAMAUE



tersebut lah al kisah,Ada seorang pemuda yang lama belajar di
luar negeri, kembali ke tanah air.Sesampainya di rumah dia meminta kepada orang tuanya untuk mencari seorang guru agama, ust atau sesiapa sahaja yang boleh menjawab 3 pertanyaannya.Akhirnya orang tua pemuda itu mendapatkan orang tersebut,

Pemuda: siapa kau? Dan bolehkah tuan
menjawab pertanyaan- pertanyaan saya?

Ust : Saya hamba Allah dan dengan
izin-Nya saya akan menjawab pertanyaan anda.

Pemuda: tuan yakin? Sedangkan Profesor
dan ramai orang yang pintar tidak mampu
menjawab pertanyaan saya.ini kan lagi tuan

ust : Saya akan mencuba sejauh
kemampuan saya.

Pemuda: Saya ada 3 pertanyaan:-

1. Kalau memang Tuhan itu ada, tunjukan
wujud Tuhan kepada saya

2. Apakah yang dinamakan takdir

3. Kalau syaitan diciptakan dari api
kenapa dimasukan ke neraka yang dibuat
dari api, tentu tidak menyakitkan buat
syaitan. Sebab mereka memiliki unsur
yang sama. Apakah Tuhan tidak pernah
berfikir sejauh itu?

Tiba-tiba ust tersebut menampar pipi pemuda tadi dengan kuat..
pammm bertabur giginya

Pemuda (sambil menahan sakit): Kenapa
tuan marah kepada saya?

ust : Saya tidak marah...Tamparan itu
adalah jawapan saya atas 3 pertanyaan
yang anda ajukan kepada saya.

Pemuda: haaa jawapannya dengan penampar?
tambah bingung si pemuda itu.

Kiyai : iya penampar,Bagaimana rasanya
penamparan saya?

Pemuda: Tentulah saya merasa sakit.
( sambil mengusap2 pipinya

ust : Jadi anda percaya bahwa sakit itu ada?

Pemuda: Ya!

ust : Tunjukan pada saya wujud sakit itu!

ust : Itulah jawaban pertanyaan pertama anda...
kita semua merasakan kewujudan Tuhan tanpa mampu melihat

ust : Apakah malam tadi anda bermimpi akan ditampar oleh saya?

Pemuda: Tidak.

ust : Itulah yang dinamakan takdir.

ust : Terbuat dari apa tangan yang
saya gunakan untuk menampar anda?

Pemuda: Kulit.

ust : Terbuat dari apa pipi anda?

Pemuda: Kulit.

ust : Bagaimana rasanya tamparan saya?

Pemuda: Sakit.

ust : Walaupun syaitan dijadikan dari api dan neraka juga terbuat dari api,
jika Tuhan menghendaki maka neraka akan menjadi tempat yang menyakitkan untuk syaitan.







16:13

HIDUP TERLALU SINGKAT UNTUK MEMBENCI

Posted by Ahmad Tauffik Ag Laiman AT TAMAUE


Ah, terlalu sukar untuk memberi maaf. Bahkan lebih sukar daripada meminta maaf. Masih terasa tusukan rasa bagaikan sebuah dendam yang membara. Masih terngiang-ngiang segala kata. Masih terbayang semua tingkah dan perlakuan. Wajah 'orang-orang bersalah' itu terasa begitu menjengkelkan. Memberi maaf kepada mereka seolah-olah menggadaikan harga diri. Ah, apakah maruah ini terlalu murah untuk di sorong tarik dengan harga yang rendah? Dan cukup sakit, apabila mengenangkan 'musuh-musuh' itu tersenyum dengan kemenangan.

Namun, itu hanya bisik 'hati besarku'. Yang melantunkan suara ego dan marah. Kesat dan kesumat. Tetapi jauh dari dalam diri...ada suara lain yang bergetar. 'Hati kecil' yang tidak jemu-jemu mengingatkan. Suara tulus yang mendamaikan gelombang jiwa. Bisik telus yang meredakan amukan rasa.Maafkan, lupakan...cintai, sayangi...Berperang dengan mereka bererti berperang dengan diri sendiri. Begitu bisik hati kecil itu selalu.

Pada sebuah persimpangan rasa, tiba-tiba hati disapa oleh sebuah firman:
"Tolaklah kejahatan dengan sebuah kebaikan.Nescaya engkau
akan mendapati musuhmu akan menjadi seolah-olah saudara"

Wahai diri,api jangan dilawan dengan api. Nanti bakarannya akan membakar diri sendiri. Menyimpan dendam sama seperti membina sebuah gunung berapi di dalam hati. Semakin besar dendam itu, maka semakin sakit hati yang menanggungnya. Musuh-musuh mu terus ketawa, sedangkan kau sendiri menderita meneguk bisa.

Musim-musim terus berlalu sewajarnya mendewasakan aku. Pengalaman lampau sentiasa membuktikan bahawa permusuhan hanya akan memberi kepuasan sementara. Apabila 'fatamorgana' itu berlalu. Aku akan menjadi lebih dahaga daripada sebelumnya. Apakah akan ku terjah perangkap itu berkali-kali? Oh,tidak. Mukmin tidak akan terperosok dalam lubang yang sama dua kali. Begitu maksud sebuah sabda. Justeru? Cukup sekali!

Biarlah musuh itu ketawa sepuas-puasnya. Beban rasa ini biarlah aku letakkan. Tidak akan ku bawa dalam safar kehidupan yang pendek ini. Hidup terlalu singkat untuk membenci. Bermusuh dengan orang lain, sama seperti bermusuh dengan diri sendiri. Memaafkan orang lain,sama seperti memaafkan diri sendiri. Kata bijak pandai:
"Apa yang kita berikan akan kita terima kembali"

Ah, betapa leganya sekarang...Benarlah bahawa kebaikan itu tampak sukar untuk dilaksanakan. Pahit. Sakit. Tetapi apabila dilaksanakan akan terasa kemanisannya. Manakala kejahatan itu tampak mudah, indah dan manis. Namun apabila dilakukan, pasti ada kekesalan, kepahitan dan keresahan. Ketika ini terasa benar apa yang selalu didengar di dalam tazkirah - yang punya tabsyir dan inzar - bahawa dosa itu sesuatu yang meresahkan. Dendam itu dosa. Memaafkan itu pahala. Memaafkan menjemput datangnya 'syurga' yang fana, sebelum syurga yang baqa'.

Kini hatiku tertanya-tanya lagi...siapa aku, yang begitu sukar memaafkan? Tuan? Tuhan. Aku hanya hamba. Sedangkan DIA Sang Pencipta itu Maha Pemaaf, Maha Pengampun, siapa aku yang kerdil ini untuk terus berdendam? Ya ALLAH, ampunkan aku. Sengaja atau tanpa sengaja, sering atau kekadang...aku 'terlanjur' menumpang hak-MU..

23:51

PADAH BURUK SANGKA

Posted by Ahmad Tauffik Ag Laiman AT TAMAUE



Malam itu gerimis turun. Angin pun bertiup sungguh sangat dingin. Tapi kedua suami isteri yang tinggal di sebuah rumah kecil itu berkeinginan betul hendak keluar juga. Kerana ibu si suami itu dalam keadaan sakit tenat, mungkin hanya tinggal menunggu waktu saja. Hanya yang sangat merisaukan hati mereka, bagaimana dengan anaknya amira, anak mereka yang baru saja berumur empat bulan. Kalau diajak pergi takut masuk angin dan dapat berakibat sakit.

“Bagaimana nor ubaidah, kita bawa saja Amira ?” Tanya si suami.

“Jangan bang, angin kencang,” cegah isterinya.

“Habis siapa yang akan menjaganya di rumah? Apakah mungkin akan kita tinggalkan dia sendirian? Aku tak sanggup, sebab rumah kita ini terlalu dekat dengan tanah perkuburan,” kata si suami.

“Ah, abang, janganlah berfikir yang bukan-bukan,” kata isterinya yang cantik dan manis itu. “kan ada etoi (kucing) di rumah. Dia saja kita suruh menjaga amira.” Kata si isteri.

“Betul juga, mengapa aku tidak ingat pada si etoi.” Balas suaminya dengan gembira.

“Meoww....” teriaknya kemudian. Maka terdengarlah suara Etoi membalas suara tuannya itu. Lalu dengan langkah-langkah kecil dia mendekati tuannya.

“Wahai Etoi, malam ini engkau tidak usah menjaga lumbung padi dari dimakan oleh tikus-tikus, kami berdua mahu pergi, oleh kerana itu jagalah si amira,” kata si suami.

Kucing yang cantik itu mengeong sambil mengibas-ngibaskan ekornya. Kalau boleh berkata dia akan menjawab: “Jangan bimbang tuan, saya akan menunggu dan menjaga si amira supaya dia tidur dengan nyenyak. Tidak akan saya izinkan seekor nyamuk pun hinggap di tubuhnya.”

Setelah berpesan begitu, maka pasangan suami dan isteri itu pun berangkat dengan perasaan lega. Mereka tahu bahawa Etoi akan melakukan pekerjaannya dengan baik, sebab dia adalah seekor kucing yang sangat setia dengan majikannya.

Setelah melihat majikannya sudah pergi, maka etoi dengan cepat dan diam-diam melompat ke atas tempat tidur. Ia duduk di sebelah si amira yang tengah mendengkur dengan nyenyaknya. Ekornya dikibas-kibaskannya agar tidak seekor nyamuk pun yang berani mengganggunya. Matanya dengan tajam mengawasi sekelilingnya, sementara kedua kaki depannya siap mencakarkan kukunya kepada siapa saja yang berniat untuk mengusik ketenangan majikan kecilnya.

Menjelang pukul sepuluh malam, tiba-tiba kucing itu mendengar bunyi mendesis dari bawah tempat tidur. Dengan secepat mungkin Etoi memasang kuda-kuda serta siap untuk menghadapi segala kemungkinan. Matanya tiba-tiba terbeliak terkejut dan marah, ketika melihat sebuah mulut yang ternganga dengan taring dan lidah yang menjulur panjang. Rupanya dia adalah seekor ular besar yang sudah siap untuk menelan amira yang masih kecil itu.

Dengan cepat kilat Etoi melompat, giginya langsung masuk menikam ke leher ular tersebut, dan cakarnya menyerang dengan buas. Ular itu murka kerana niatnya dihalang-halangi oleh Etoi. Matanya merah seperti besi terbakar. Dia membalas menyerang dengan hebat. Badan Etoi dibelit dengan kuat, sambil mulutnya mematuk-matuk muka etoi.

Etoi hampir kehabisan tenaga, kerana dibelit oleh ular besar itu, manakala mukanya pun telah berlumuran darah. Namun dia tidak mahu binasa sebelum dapat membunuh ular tersebut. Dengan segala kemampuan dan menahan kesakitannya, ia berusaha untuk menyelamatkan nyawa anak tersayang kedua majikannya itu. Akhirnya ia berhasil melepaskan diri, lalu dengan cepat menerkam leher ular itu. Digigitnya leher makhluk jahat tersebut sekuat tenaga sehingga akhirnya matilah musuhnya itu.

Begitu dilihatnya binatang pengganggu itu sudah tergolek kaku, barulah etoi dengan sisa-sisa tenaganya naik lagi ke atas tempat tidur si Amira dan duduk semula di samping si Amira. Anak kecil itu masih tertidur dengan nyenyak. Etoi menjilat-jilat lukanya, sementara rasa pedih dan letih terasa sekujur badannya. Mulutnya masih penuh dengan darah ular tadi, sedangkan pada mukanya terdapat luka-luka yang parah.

Belum pulih lagi tenaganya, akan tetapi secara tiba-tiba dia mendengar suara majikannya di halaman rumah. Dengan gerakan yang lemah dan lunglai, Etoi turun dari tempat tidur. Perlahan-lahan ia berjalan menuju ke pintu, menyambut kedatangan kedua majikannya yang sangat dicintainya itu. Dilihatnya ibu Amira berjalan menunduk sambil terisak-isak. Bapanya pula terlihat sangat sedih. Etoi pun ikut berdukacita memperhatikannya.

Mereka berbimbingan tangan dengan romantiknya memasuki halaman rumah. Ketika mereka tiba di depan pintu, Etoi berbunyi lembut: “meoww...., meoww...., sambil terhuyung-hayang mendekati majikannya.

Tiba-tiba saja ibu Amira menjerit, “Bang....! Amira bang....!”

Suaminya terperanjat tapi tidak mengerti, “Mengapa Amira, Nor ubaidah?” Tanya suaminya.

“Lihatlah si Etoi, mulutnya berlumuran darah. Pasti anak kita telah diterkam dan dibunuhnya. Oh, Amira.... anak kita, bang. Bunuh Etoi, bang! Ia telah memakan anak kita!” Kata si isteri.

Si suami baru tahu apa yang dimaksudkan oleh isterinya. “Betul! Mulut Etoi penuh dengan darah segar, pasti Amira telah diterkamnya.”

Tanpa berfikir panjang, si suami lalu mengambil besi. Dengan penuh kemurkaan lalu dipukulnya benda keras itu ke tubuh si Etoi. Kucing itu menjerit; “meowwwww....” Lelaki itu bertambah marahnya lagi, lalu diambilnya pula sebuah batu, dihentaknya ke kepala Etoi.

Maka bercucuranlah darah dari kepala binatang yang tidak berdosa itu. Badannya terkejang-kejang. Dari matanya mengeluarkan air mata yang jernih satu-satu. Setelah mengeong untuk terakhir kalinya, kucing yang cantik itu pun menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Melihat korbannya sudah mati, maka pasangan suami isteri itu terburu-buru masuk ke bilik. Alangkah terkejutnya mereka ketika melihat suasana bilik itu. Yang nampak pertama kali di depan pintu adalah bangkai seekor ular besar yang hampir putus lehernya. Maka dengan hati berdebar-debar mereka berlari ke tempat tidur. Ternyata anaknya Amira masih tetap dalam keadaan tertidur nyenyak.

Barulah mereka dapat meneka apa yang telah terjadi selama mereka tidak berada di rumah tadi. Bukan Etoi yang bersalah, ternyata kucing itu telah berjuang mati-matian untuk menyelamatkan anak mereka. Seketika itu juga pucatlah wajah mereka. Mereka menyesal teramat sangat. Ternyata Etoi adalah kucing yang tetap setia. Dia tidak mempedulikan keselamatan dirinya asalkan tugas yang dipercayakan kepadanya ditunaikannya. Kalau perlu dirinya sendiri menjadi korban untuk menyelamatkan nyawa majikan kecilnya. Namun balasan yang diterimanya bukan belaian kasih sayang dan terima kasih, akan tetapi nyawanya dihabiskan dengan penuh kekejaman.

Suami isteri itu menangis tersedu-sedu menyesali kesalahannya, ia bertaubat kepada Allah SWT serta berjanji untuk tidak lagi berbuat semena-mena terhadap binatang yang tidak berdosa, tanpa periksa terlebih dahulu. Bangkai Etoi diangkat dan diciumnya, tapi yang sudah pergi tidak akan kembali, dan penyesalan mereka juga sudah tidak bererti, kerana yang sudah mati itu tidak akan hidup lagi. Cuma sebagai pedoman atau pengajaran buat masa yang akan datang.



Terlajak perahu boleh di undur,
Terlajak prasangka diri terkubur,
Jika bukti masih kabur,
Kajilah ia dengan teratur,

03:57

PERJUANGAN

Posted by Ahmad Tauffik Ag Laiman AT TAMAUE




Kita umat Islam hendaklah ingat, perjuangan kita adalah untuk
menegakkan kalimah Allah. Jangan lupa keadaan ini walau di dalam keadaan
susah atau senang. Kita mesti perjuangkan kalimah Allah ini walau di dalam
keadaan yang bagaimana sekalipun. Suasana dan keadaan yang berlaku hanya
seperti perubahan-perubahan cuaca bagi bagi manusia. Yang penting manusia
akan dapat terus hidup di dalam apa bentuk cuaca sekali pun. Yang penting
umat Islam dapat hidup di dalam apa juga suasana dan keadaan sekalipun.

Sekiranya anda berada di dalam limpahan rezeki berbentuk harta dan
wang yang melimpah-limpah, jangan lupa perjuangan kita adalah perjuangan
mendaulatkan kalimah Allah. Jikalau kita berada di dalam keadaan terhimpit
dan tertekan, jangan lupa perjuangan kita adalah untuk menegakkan kalimah
Allah. Begitu juga kalau kita sebagai penguasa dan pemerintah di atas muka
bumi ini, jangan lupa perjuangan kita adalah untuk menegakkan kalimah Allah.

Perjalanan hidup merubah suasana manusia adakalanya miskin,
adakalanya kaya. Ada ketika menjadi kaum muslimin yang tertindas dan pada
waktu yang lain menjadi penguasa-penguasa alam. Perjalanan hidup ini tidak
sepatutnya mengubah cita-cita perjuangan mendaulatkan kalimah Allah. Ada
orang yang lupa dengan cita-cita mendaulatkan kalimah Allah setelah dia
menjadi kaya raya. Ada yang lupa untuk menegakkan kalimah Allah kerana
sangat sempit kehidupannya. Ada yang lupa kerana mendapatkan isteri yang
cantik. Ada orang yang meninggalkan cita-cita menegakkan kalimah Allah ini
setelah banyak diuji dengan berbagai ujian.

Kita perlu ingat bahawa seseorang Islam itu tidaklah mulia kerana dia
kaya, menjadi orang yang berharta,menjadi penguasa dan ternama. Dan tidak
pula menjadi hina kerana miskin atau dibenci atau dibuang orang keluar
negerinya. Tetapi seorang muslim itu mulia kerana jihad dan perjuangannya
menegakkan kalimah Allah.

Kekufuran tidak perlu diperjuangkan kerana ia ibarat sampah sarap
atau sisa buangan. Ia akan sentiasa ada sepanjang zaman. Tetapi Islam mesti
diperjuangkan oleh pendukungnya. Jikalau di dalam golongan kuffar, terdapat
golongan kaya, di dalam golongan muslim juga ada golongan kaya. Jikalau di
dalam golongan kuffar ada golongan muslim, golongan muslim juga ada yang
miskin. Jikalau di dalam golongan kuffar itu ada pemimpin, di dalam golongan
Islam juga ada pemimpin. Jikalau di dalam golongan kuffar itu ada ramai
pengikut, golongan Islam juga punyai ramai pengikut. Yang membezakan
golongan kuffar dan muslim adalah cita-citanya di dalam menegakkan ideologi
di atas muka bumi ini. Seorang muslim yang sejati ialah mereka yang sentiasa
terus menerus berjuang menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini di
dalam apa keadaan dan suasana sekalipun.

Berpegang teguh pada perjuangan menegakkan kalimah Allah inilah yang
akan mengumpulkan kita dengan ilmu, kumpul sahabat, kumpul semangat, bina
ukhuwwah dan persaudaraan, bina ekonomi dan kemajuan, bina kesedaran, bina
sistem pendidikan, bina insan dan segala-galanya. Semua itu perlu kita
laksanakan kerana hendak mencapai cita-cita mendaulatkan kalimah Allah.
Semuanya ini adalah alat untuk mencapai matlamat mendaulatkan kalimah Allah.
Mari kita bangunkan ekonomi untuk daulatkan kalimah Allah. Mari kita kuatkan
ukhwah dan persaudaraan di dalam menegakkan kalimah Allah. Mari kita tambah
ilmu, bina semangat kerana hendak menegakkan kalimah Allah. Mari kita beri
kesedaran kepada masyarakat kerana hgendak menegakkan kalimah Allah. Pendek
kata apa sahaja yang kita lakukan adalah untuk mendaulatkan hukum hakam
Allah di atas muka bumi ini.

Lihatlah betapa banyaknya hukum Allah yang masih tidak dilaksanakan
di atas muka bumi ini sama ada pada diri, keluarga atau masyarakat. Siapa
yang hendak dipersalahkan dan kepada siapa hendak dipertanggung jawabkan.
Bukankah kepada kita semua ?

Ayuh ! bangun berjuang. Kalau kita tidak mahu berjuang mendaulatkan
hukum hakam Allah, besar kemungkinan akan berlaku dua perkara : Pertama
hukum-hukum thagut akan terus mengongkong anda seumur hidup atau Kedua:
Allah akan gantikan dengan golongan muslimin yang lebih baik dari kita untuk
menegakkan kalimah Allah. Mahukah kita jadi hina kerana tidak berjuang ?
Orang yang tidak mahu berjuang sama seperti lelaki yang rumahnya dimasuki
perompak dan kerana tidak berani membela dan melawan maka anak isterinya
dirogol dihadapan mata sendiri. Dia pasti tidak akan lupakan peristiwa itu
seumur hidup. Peristiwa itu pasti akan menghantui fikirannya. Dan dia akan
berkata : "Lebih baik aku mati daripada menanggung hina sebegini rupa."
Padahal jikalau dia membela anak dan isterinya diwaktu itu dan dia mati,
maka matinya adalah mati yang mulia. Demikianlah tamsil bagi seorang muslim
yang tidak mahu berjuang menegakkan kalimah Allah ketika orang-orang yang
menyeleweng telah cuba merobohkan agama Islam yang kita cintai ini.

Sebenarnya orang muslim yang tidak mahu berjuang, tidak ada niat
untuk berjuang atau membenci perjuangan mendaulatkan kalimah Allah, lebih
baik daripada hidup. Kalau hidup pun tiada gunanya., kerana sama dengan
mayat-mayat yang bergelimpangan sahaja. Dia akan semakin reput dan membusuk.
Kereputan itu berlaku di dalam kerajaan-kerajaan Islam yang besar-besar satu
ketika dahulu kerana kerajaan itu diwariskan kepada orang-orang yang jiwanya
pengecut dan tidak mahu berjuang. Perlu diingat, perjuang itu bukan hanya
dengan slogan dan petikan. Atau menamakan parti kita parti Islam. Tetapi
perjuangan itu ialah berbuat kebiakan dan kebajikan dan menegakkan
hukum-hukum Tuhan di dalam diri kita, keluarga, masyarakat dan negara.
Berbuatlah, nanti Allah akan menilai, Rasul akan merestui dan orang mukmin
akan membantu.

Kini dunia Islam telah menjadi bangkai reput, telah membusuk
dagingnya dan telah tanggal tulang-tulangnya. Dia akan menjadi tanah, tempat
pemakaman sejarah dan peristiwa. Di atas pemakaman sejarah dan peristiwa
inilah kita tanam pohon-pohon Toiyyibah yang baru. Pohon-pohon Toiyyibah
yang akan diawasi oleh pejuang-pejuang muda yang gigih dan perkasa. Saya
harap andalah pejuang-pejuangnya itu. Ayuh bangunlah bersama-sama demi
menegak dan mendaulatkan kalimah Toyyibah, kalimah La ilaha illa Allah
Muhammad Rasulullah.

memperjuangkan satu perjuangan yang bukan berlandaskan islam, wajib ke atas kita untuk memeranginya dan memerangi perjuangan untuk menegakkan kalimah La ilaha illa Allah Muhammad Rasulullah bermakna mencabar kerajaan Allah S.w.t.

13:34

NIAT & KEIKHLASAN

Posted by Ahmad Tauffik Ag Laiman AT TAMAUE



segala amal adalah dgn niat, maka niat itu pula mempunyai arah tujuan atau ketentuan maksudnya kerana di sinilah
terletak balasan baik atau jahat & seseorang akan mendapat balasan itu sebanding dengan apa yg tlh diniatkan menurut
ikhtiar dan pilihan hatinya sendiri, misalnya sesuatu amal ibadat spt sembahyang wajib atau sunat baru dianggap sah
serta diterima & diberi balasan sekiranya asal mendirikan kerana Allah bukan kerana lainnya. inilah yg dinamakan ikhlas
yg menjadi jiwa sesuatu amal & amal yg demikian inilah yg diperintahkan oleh Allah.

maka, setiap pekerjaan yang kita lakukan hendaklah dengan niat yg baik & ikhlas kerana Allah Taala. justeru itu, mari kita
sama2 niatkan persaudaraan & persahabatan kita semata2 kerana Allah dan sebagai salah satu uslub untuk menasihati antara
satu sama lain. kerana hati yg tidak disirami dengan nur ilahi akan mati & mudah untuk terjerumus ke lembah MAKSIAT
samada kita sedari atau tidak.

14:03

BILA KITA BERSENDIRI

Posted by Ahmad Tauffik Ag Laiman AT TAMAUE



Bersendiri…
Memikirkan keadaan diri,
Memikirkan lalainya diri,
Memikirkan alpanya diri,
Memikirkan tentang esok hari,
Entah apa yang bakal terjadi…

Bersendiri…
Teringat dosa-dosa yang dilakukan,
Terkenang kelalaian yang diulang,
Terbayang laghanya kelakuan,
Tercetus kekesalan yang mengundang…

Bersendiri…
Melayang fikiran menjejak kesilapan,
Menerjah kekesalan di fikiran,
Masih adakah keampunan tuhan,
Masih layakkah diri diampunkan…

Bersendiri…
Mengharapkan kasih Illahi,
Mengharapkan redha-Nya lagi,
Mengharap syurga yg abadi,
Mengharap maghfirah-Nya kini,

Tuhan…
Ampunkan hamba-Mu yang hina,
Maafkan diriku yang leka,
Pimpinlah aku Ya Tuhan!!

17:57

langit hijau

Posted by Ahmad Tauffik Ag Laiman AT TAMAUE




Jangan lupa malam hijau
dimana bintang dan bulan berkaca
bulan hijau
jangan lupa ketika sayapmu
mengorak lembut
seluas langit
bertebaran
jutaan permata
berguguran


diantara selimut alam
langit tinggi rahsia
terbentang selendang putihmu
cakerawala terpaku
terhenti saat dan waktu
langit hijau
telah terbuka semua pintu pintu
sampai kemari
segumpal awan meniti perlahan
melintasi rindu
bercerminkan indah
salam perkenalan.

07:56

Kejayaan Menuntut Pengorbanan

Posted by Ahmad Tauffik Ag Laiman AT TAMAUE



Semua manusia amat mengidamkan kehidupan yang penuh dengan kegembiraan. Kalau boleh sepanjang hidup tidak mahu susah sedikit pun, biar hidup sentiasa dalam keadaan riang gembira.
Kejayaan dalam hidup menuntut pengorbanan. Setiap pahit getir kehidupan perlu dilalui untuk dijadikan pengalaman. Pengalaman inilah yang banyak mengajar kita untuk hidup seterusnya agar saat-saat kedukaan atau kepahitan hidup dapat menjadikan kita seorang yang tabah. Pengalaman menjadikan manusia lebih berhati-hati dalam hidup agar kehidupan selepas ini lebih beerti lagi.
Ada juga manusia yang tidak serik dengan pengalaman lepas. Ia tidak dijadikan sempadan hidup. Ia masih lagi menempuh norma-norma hidup yang menjerumuskannya ke alam kekecewaan. Putus asa dengan Rahmat Allah menyebabkan hati keras untuk kembali ke pangkal jalan, lalu mengekalkan diri dalam maksiat.
Kejayaan dunia atau akhirat amat menuntut pengorbanan. Pengorbanan dari segala sudut. Banyak peluh dan air mata akan tumpah. Banyak masa akan habis. Banyak tenaga yang akan digembeling. Wang ringgit, harta kekayaan, kaum keluarga, hatta diri sendiri mesti sanggup dikorbankan demi menebus sebuah kejayaan.
Hasil kejayaan dunia akan hanya menampakkan kemewahan hidup zahir. Walhal kejayaan di akhirat lebih besar dan abadi jarang sekali manusia mengejarnya kerana kurang yakin dengan janji Allah. Memang ganjaran Allah tidak nampak. Memang nikmat Allah amat sedikit sekali yang mensyukurinya. Bila Allah terbalikkan dunia ini, baru manusia akan sedar, "Engkaulah Tuhan yang patut disembah. Aku ini hanya hamba yang dhaif".
Orang mukmin memang miskin harta tetapi kaya dihati. Kehambaan kepada Allah menjadikan seseorang itu merasai sentiasa puas dengan pemberian Allah. Kalau dapat nikmat sentiasa bersyukur, kalau derita dan kepayahan yang melanda, dia tidak mudah berputus asa bahkan sabar kerana dia yakin semua itu ujian dari Allah.
Menyedari diri kita sebagai hamba Allah adalah merupakan kejayaan yang sangat besar. Bukan mudah memiliki hati yang demikian di saat-saat ramai manusia yang lalai dengan dirinya, sering menganggapkan dirinya tuan.
Sebab itu ramai yang berjalan mendabik dada, bercakap besar, meninggi diri, kasar, sombong dengan orang lain. Nafsu sentiasa membisikkan, "Orang lain tidak layak berada disampingku. Aku mempunyai status dan kedudukan". Orang lain dipandang hina dan kecil.
Sebenarnya kitalah orang yang paling gagal dan merada dalam kerugian tanpa kita sedari. Di dunia kitalah orang yang paling bahagia, kaya, kejayaan hidup berada didalam tangan. Tapi di hadapan Allah kelak, kitalah semuflis-muflis orang yang akan di hinakan oleh Allah dengan minuman air danur yang menggelegak dan makan buah zakum yang berduri bagi penghuni neraka. Barulah mula kenal siapa diri ini di sisi Allah. Jesteru marilah kita menilai diri kita dan membuat muhasabah bagi memastikan diri kita berada dilandasan yang diredhai oleh Allas SWT.

12:07

bahagia terletak pada sifat redda

Posted by Ahmad Tauffik Ag Laiman AT TAMAUE



Asslamualaikum..
…maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada. [QS:22:46]

hidup ini ibarat roda,terkadang di atas dan terkadang di bawah, iya betul itu memang betul..tapi apa pula perasaannya bila kita selalu rasa di bawah,,yang sentiasa hidup menjadi pengalah..hidup punyai warna warninya tersendiri,beraneka corak dan ragam, dan manusia itu berbagai perwatatakkanya.terkadang bila kita memahami kita pulak di sakiti, yang lagi menyakitkan bila benda yang disakitkan itu sengaja di buat dab dibiarkan tanpa merawatnya. setiap kita tidak akan terlepas melaluinya.terkadang menjalani kehidupan dalam kesakitan tanpa kebahagiaan.apa itu bahagia? dan apa jadi pada kita?

BAHAGIA itu belum tentu tersimpan di istana yang megah. Bahagia pada sepasang kekasih tentu ada pasang surutnya. Di manakah bahagia? Pada keluasan ilmu, rezeki dan pangkat, atau duduk bercengkerama dengan saudara dan sahabat? Ternyata itu semua boleh juga menggoncang perasaan, memerah otak jadi serabut, badan kering dan layu,wajah bertukar murung, luka di hati yang susah mengubatinya.apatah lagi bila kita di sakiti kita sendiri pulak yang mengubati.

Pakar motivasi menyatakan: "Anda adalah apa yang anda fikirkan mengenai diri anda". Manakala hadis Rasulullah SAW memberi petua lagi bernas, sabdanya: "Sungguh hebat keadaan orang mukmin, mereka sentiasa berkeadaan baik. Tidak terjadi yang demikian itu kecuali pada diri orang mukmin. Jika ia mendapat kesenangan ia bersyukur, hal ini adalah kebaikan. Dan jika ia ditimpa kesusahan ia bersabar, itu juga adalah kebaikan." (Hadis riwayat Imam Muslim).

Semua baik, baik dan baik. Apa yang Allah pilih untuk kita adalah baik. Bila sakit ubatnya adalah senyum dan reda. Diuji dengan kekurangan harta tidak menjadi masalah bagi orang yang percaya bahawa bukankah selama ini Allah memberi lebih banyak daripada mengambil? Ibnu Mas'ud apabila ditanya: "Apakah engkau bersedih kerana kehilangan sebelah kakimu?" Beliau menjawab: "Bukankah Allah telah meninggalkan untukku yang sebelah lagi?"

Orang banyak mengatakan: "Bahagia itu adalah kepuasan hati." Tapi pernahkah kita berfikir bahawa manusia tidak akan pernah puas? Selagi mana ia berada di dunia ia pasti berhadapan dengan kekurangan. Kurang popular, kurang kaya, kurang cantik, kurang sihat dan mungkin bagi patik,kurang kurus hehehe ;) dan pelbagai tuntutan nafsunya yang tidak akan pernah rasa dengan sempurna. Selami dasar hati kita, percayalah bahawa sesungguhnya bahagia itu ada pada sifat redha.

Ia bagaikan ubat yang menyejukkan orang yang demam. Seperti rimbunan pohon di tengah panas yang terik, umpama hembusan angin yang sepoi-sepoi bahasa memujuk hati yang luka. Sesungguhnya apa-apa yang datang kepada kita adalah baik belaka kerana Allah SWT lebih mengetahui apa yang 'sesuai' untuk kita. Dia yang memilih, yang Maha sempurna aturan-Nya, yang suci dari cacat cela atas segala pentadbiran-Nya. Sebagai manusia biasa ada kalanya kita ‘tidak terima’ dengan apa yang terjadi pada diri. Tapi biarlah perasaan itu dikawal pada paras hanya ‘terkejut’ di puncaknya, kemudian surut dengan perasaan redha atas ketentuan-Nya. Firman Allah bermaksud: "Allah pun redha ke atas diri mereka dan mereka pun redha dengan pemberian-Nya." (Surah al-Bayyinah, ayat 8

Ada dua rahsia yang terkandung dalam kalimah Allah itu, iaitu pertama adalah ayat ini cuba memujuk kita bahawa apa-apa yang datang kepada kita semuanya adalah hadiah pemberian Allah. Ujian itu sebenarnya hadiah yang paling mahal tetapi kadang-kadang manusia menganggap cuma nikmat yang paling berharga.

Kedua, wujudnya hubungan kasih sayang antara Allah dan hamba-Nya. Sayang akan melahirkan redha ke atas apa saja yang dilakukan oleh orang yang kita sayang. Kerana sayang, masakan isteri yang kurang garam terasa sedap juga. Kekasih yang menduga dan menyakiti hati kita terpaksa kita redha sebab sayang.

Tetapi mengapa pula kita merajuk jika Allah menguji kesetiaan cinta kita. Jika sakit mengeluh panjang, lupa dengan hari ketika ia sihat. Kalau rugi semua orang dikeroyok, di pejabat, di pasar, di rumah, di jalan raya semua terkena tempias kemarahannya. Rugi yang sedikit itu telah menutup kurniaan Allah yang banyak pada rezekinya selama ini. Betapa sengsaranya orang yang tiada sifat redha

Hidup tidak tenang, dikejar rasa takut, hati rasa kosong padahal peti besinya penuh dengan duit. Segala hiburan dan perhiasan dunia memang boleh mendatangkan bahagia tapi bukan bahagia yang 'diam' dalam hati, ia cuma menempel sebentar di dinding hati kemudian lenyap begitu cepat. Carilah bahagia yang hakiki di atas jalan yang telah dibentangkan oleh kekasih Allah, Muhammad SAW. Bahagia itu adalah redha. Cukup senang formulanya tetapi susah dilakukan kecuali oleh orang yang bijak mengawal perasaan lagi beriman.

Tanda redha ada tiga. Pertama adalah kata yang baik ketika menerima ujian Allah. Innalillahi wainna ilaihi rajiun (Kami adalah milik Allah dan kepada Allah kami akan dikembalikan). Bukan sumpah seranah dan maki hamun rasa tak puas hati.
Kedua, ketika susah ingatlah dengan nikmat Allah yang banyak. Di situ anda akan berasa beruntung dengan apa yang ada pada diri.
Ketiga, ikhtiar jangan berhenti. Redha bukan bermakna menerima tanpa usaha. Itu adalah putus asa dan pesimis namanya. Tapi redha adalah semangat yang membangkitkan hati yang sedih, yang menajamkan akal fikiran, menguatkan hentakan kaki dan membuahkan idea yang bernas untuk berjaya. Jadilah orang yang bahagia dengan kekuatan yang tersimpan dalam mustika yang bernama redha kepada Allah.


moga penulisan nie membari manfaat bersama..jangan meletup2 hoo,,kau reda saja pasti ada bahagia
wasslam

19:38

BILA AL QURAN BERBICARA

Posted by Ahmad Tauffik Ag Laiman AT TAMAUE


Waktu engkau masih kanak kanak kau laksana kawan sejatiku. Dengan wudu', Aku pun kau sentuh dalam keadaan suci, Aku kau pegang. Aku,kau junjung dan kau pelajari. Aku engkau baca dengan suara lirih atau pun keras setiap hari. Setelah selesai kau menciumku mesra. Sekarang kau sudah dewasa.Nampaknya kau sudah tak berminat lagi padaku... Apakah Aku bahan bacaan usang yang tinggal sejarah...?

Menurutmu, mungkin aku bahan bacaan yang tidak menambah pengetahuanmu. Atau, menurutmu aku hanya untuk anak kecil yang belajar mengaji.......

Sekarang, Aku tersimpan rapi; sehingga engkau lupa di mana Aku tersimpan. Aku sudah engkau anggap hanya sebagai pengisi stormu. Kadang kala Aku dijadikan mas kahwin agar engkau dianggap bertaqwa. Atau Aku kau buat penangkal untuk menakuti iblis dan syaitan.

Kini Aku lebih banyak tersingkir, dibiarkan dalam kesunyian.Di dalam almari, di dalam laci, aku kau pendamkan. Dulu pagi-pagi surah-surah yang ada padaku engkau baca beberapa halaman.Pada waktu petang, Aku kau baca beramai-ramai bersama temanmu di surau.....

Sekarang,seawal pagi sambil minum kopi kau baca surat khabar dahulu.Waktu lapang engkau membaca buku karangan manusia. Sedangkan Aku yang berisi ayat-ayat yang datang dari Allah Azzawajalla,kau abaikan dan kau lupakan..Waktu berangkat kerja pun kadang-kadang engkau lupa baca pembuka surah2ku (Bismillah).

Di dalam perjalanan engkau lebih asyik menikmati musik duniawi. Tidak ada kaset yang berisi ayat Allah yang terdapat di dalam keretamu. Sepanjang perjalanan, radiomu selalu tertuju ke stesyen radio kesukaanmu. Mengasyikkan. Di meja kerjamu tidak ada Aku untuk kau baca sebelum kau mulai kerja. Di komputermu pun kau putar musik favouritemu. Jarang sekali kau putar ayat-ayatku,E-mail temanmu yang ada ayat-ayatku pun kau abaikan dan bila kau berbicara dengan temanmu kau lupa untuk menceritakan tentangku. kau terlalu sibuk dengan urusan dunia mu. Benarlah dugaanku bahawa kau kini sudah benar-benar hampir melupaiku.

Bila malam tiba, engkau tahan bersekang mata berjam-jam di depan TV. Menonton siaran televisyen. Di depan komputer berjam-jam kau tahan duduk. Hanya sekadar membaca berita murahan dan gambar sampah.

Waktupun cepat berlalu,Aku semakin usang dalam laci-laci mu. Mengumpul debu atau mungkin dimakan anai anai. Seingatku, hanya awal Ramadhan kau membacaku kembali. Itupun hanya beberapa lembar dariku. Dengan suara dan lafaz yang tidak semerdu dulu. kaupun kini tergagap gagap ketika membacaku. Atau waktu kematian saudara atau taulan mu. Bila kau di kubur sendirian menunggu sampai kiamat tiba. kau akan diperiksa oleh para malaikat suruhanNya. Apakah TV, radio, hiburan atau komputer dapat menolong kamu? Yang pasti ayat-ayat Allah s.w.t yang ada padaku menolong mu. Itu janji Tuhanmu, Allah s.w.t

Sekarang kau begitu buas membuang waktumu, Setiap saat berlalu.Dan akhirnya,kubur yang setia menunggu mu kau pasti kembali, Di sana pasti kembali kepada Tuhanmu. Jika Aku kau baca selalu dan kau hayati. Di kuburmu nanti, Aku akan datang sebagai pemuda gagah dan tampan. Yang akan membantu kau membela diri. Dalam perjalanan ke alam akhirat. Dan Akulah "Al-Qur'an", kitab sucimu. Yang senantiasa setia menemani dan melindungimu.

Peganglah Aku kembali, bacalah aku kembali aku setiap hari. Karana ayat-ayat yang ada padaku adalah ayat-ayat suci. Yang berasal dari Allah Azzawajalla. Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Pemurah. Yang disampaikan oleh Jibril melalui Rasulmu Muhammad S.A.W. Keluarkanlah segera Aku dari almari, lacimu,Letakkan aku selalu di depan meja kerjamu. Agar engkau senantiasa mengingat Tuhanmu. Sentuhilah Aku kembali,Baca dan pelajarilah aku kembali. Setiap datangnya pagi, petang dan malam hari walau secebis ayat. Seperti dulu,Waktu engkau masih kecil. Di surau kecil kampungmu yang damai. Jangan aku,kau biarkan bersendirian...Dalam bisu dan sepi....

Kita mudah lalai, demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.kita kadang tersedar dan kadang terlupa, kita mudah tertipu dengan dunia. Iya, dunia ini banyak tipu helahnya..moga penulisan ini dapat memberikan manfaat bersama untuk kehidupan di sana, kerana di sana pasti pasti dan pasti:::pawana tamaue:

13:15

iktibar ramadan

Posted by Ahmad Tauffik Ag Laiman AT TAMAUE




Kita koyak selembar taqwim—Ramadhan mensyahdu diri.
Foto-foto di dinding memang jatuh, di lantai lusuh.
Kini, dalam Ramadhan, kita ciumi sejarah
setelah tiba-tiba terdampar tua—
sedikit nikmat, sekelumit sengat, serangkai lara.
Kita koyak taqwim lagi, terkenang:
Album keluarga luntur dan keruh. Tentunya foto
di dinding semakin luruh.
Kita pernah anak, gemar mendengar detap ranting terpijak;
melonjak sebaik terasa titis hujan di dahi.
Dan kita pernah berebut selimut waktu rebut.
Mendengar siren, berkecah kita menyerbu shelter.
Kita tidak mengerti—tetap takut, tapi.
Sesekali kita hadapi ibu meramping diri dengan
jamu Jawa; merapi rambut dengan sikat Tionghua.
Dan pada malam Jumaat tak tersangka kita terserempak
ibu diciumi ayah. Kita tidak mengerti—tetap
takut, tapi, kerana ibu dan ayah berdekah lama.
Dan kita juga sempat mengusik datuk yang terkejut
tersepak songkok. Tak kita tahu apakah sekadar nahas
ia atau sebenarnya iktibar bangsa.
Pun, kita pernah Bantu menukar barut dan lampin adik;
mencorengkan bedak sejuk di muka mak su yang molek;
menghitamkan kening kakak, kemudian cepat
menyorokkan botol celak. Juga, kita sempat
mencuri sentil nenek—lembap dan lembik.
Tidak kita tahu apakah hal biasa ia
atau masih iktibar bangsa.
Kita pernah tergamam melihat Maria Montez berkucup;
pernah terketar menyaksi gelek Samia Gamal berkocak;
kita menyondol ketiak ibu kononnya terlalu gugup dan malu.
Di dapur, kita girang mendengar desih lempeng di kuali;
di tandas, pernah kita terhidu minyak sapi Punjabi.
Benar, kita tiba-tiba tersadai tua—
dari bermain keleret, terkinja di lantai joget;
dari memukul rebana, teringin coli Miss Tijah.
Dan, lebih uzur, ketika teserempak tepak sirih
dan gobek nenek—menangis diri dalam sunyi.
Mengerti, tetap takut, tapi.
Abad lalu rupanya yang tertinggal; masih boleh diingat
bosyi Jepun dan ceongsam koyak—cara Nippon membela
dan melanyak. Kini, mula dihayat kerjip computer, sempat
disaksi saham mencerut, juga didengar Adun mencarut.
Memang berubah musim menguji diri yang terlalu kalut.
Kita memang perlu belajar tidak menyesal, memahami tamsil
Habib Noh dan Tanjung Pagar; membanggai Langkawi
dan Menara Kembar; mendoa berbaiklah Mahathir dan Anwar.
Dan seperti manisnya jenaka datuk; sekali demam
sekali batuk. Sudah terjemput diri ke dunia baqa.
Tapi foto di dinding semakin jatuh. Tak juga kita
tahu apakah hal biasa ia atau memangnya iktibar bangsa.

12:53

pujangga untuk mu..

Posted by Ahmad Tauffik Ag Laiman AT TAMAUE



Sahabat...

Cukuplah Islam sebagai nikmat. Usahlah terlalu
mengharap dan meminta-minta supaya dikurniakan nikmat
itu dan ini... sedangkan nikmat Islam yang terlalu
berharga dan bermakna ini belum benar-benar kita
syukuri. Allah swt akan menambahkan lagi nikmatnya
kepada kita jika kita benar-benar mensyukuri nikmat
yang dikurniakan kepada kita.

Insaflah... dengan dosa dan noda yang terdapat dalam
diri kita, wajarkah kita mengharapkan lagi pemberian
dari Allah? Malulah dengan Allah... Walaupun Allah
Maha Kaya tetapi mintalah kepadaNya dalam keadaan diri
kita suci dari segala dosa yang mengotori diri. Adakah
Islam tidak cukup sebagai nikmat?

Cukuplah Amal Soleh sebagai suatu yang menyibukkan
kita. Cuba tanya diri sendiri... dalam satu hari apa
yang membuatkan diri kita sibuk? Oleh itu, jadikanlah
amal soleh iaitu "amalan dunia atau akhirat yang
dikerjakan semata-mata untuk mencapai keredhaan Allah"
sebagai 'benda' yang menyibukkan kita. Biar kita
disibukkan dengannya... kerana... jika ditakdirkan
kita dicabut nyawa, kita mati dalam keadaan kita
sedang sibuk dengan amal. Amal yang membawa kepada
syurga dan membawa kepada redha Allah Yang Maha Esa.

Yang terakhir, cukuplah mati sebagai peringatan.
Jika ditakdir selepas anda membaca email ini anda
dimatikan Allah maka anda akan mati. Oleh itu,
ingatlah mati. Cukuplah mati sebagai peringatan kerana
manusia yang bijak ialah di kalangan mereka yang
sentiasa mengingati mati.

"Semoga cahaya terus menyinar"

12:45

KITA SEBENARNYA...

Posted by Ahmad Tauffik Ag Laiman AT TAMAUE



* Lebih gembira menyambut
1hb Januari daripada 1 Muharram

* Lebih tahu apa itu 14
Februari daripada 12 Rabiulawal

* Lebih membesarkan hari
Sabtu, Ahad daripada hari Jumaat

* Lebih khusyuk mendengar
lagu daripada mendengar Azan

* Lebih suka lepak,tidur
tengok TV daripada sembahyang

* Lebih tahu tentang artis
pujaan kita daripada nama nabi-nabi Allah

* Lebih suka menyebut
hello!...hai! daripada assalamualaikum

* Lebih suka pakai cap,
topi daripada tudung, kopiah

* Lebih suka menyanyi
dangdut daripada berwirid, bertahmid

* Lebih suka memuji
manusia daripada Tuhan kita sendiri

* Lebih suka membaca
majalah hiburan daripada buku-buku agama

* Lebih suka ke konsert,
karaoke daripada ceramah agama

* Lebih suka memaki,
mengumpat orang daripada memuji mereka

* Lebih suka mencarut,
@#%^&! daripada menyebut MasyaAllah

* Lebih suka kemungkaran
daripada berbuat kebaikkan

* Lebih bangga dengan
kejahilan kita daripada bersyukur dengan
keimanan kita

* Lebih cintakan urusan
dunia daripada urusan akhirat


TETAPI bila orang tanya
arah tujuan kita, kita pasti akan jawab

Kita
SEBENARNYA.....


Lebih suka menuju ke
Syurga daripada ke Neraka

Layakkah kita dengan
Syurga milik Allah SWT??

Yang mana Tuhan suruh itu
sama-samalah kita buat, yang dilarang itu
kita pakat
tinggallah.

Malu kita dengan Tuhan
yang telah memberikan segala kenikmatan
kepada

hamba-hambaNya tetapi kita
masih lupa padaNya. InsyaAllah, Tuhan akan

mengampunkan dosa-dosa
kita yang telah lampau. Wallahualam.

"Hai Kaumku, sesungguhnya
kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan
(sementara)

dan sesungguhnya akhirat
itulah negeri yang kekal.

Barangsiapa mengerjakan
perbuatan jahat, maka dia tidak akan
dibalasi

melainkan sebanding dengan
kejahatan itu.

Dan barangsiapa mengerjakan amalan yang
soleh baik
laki-laki maupun
perempuan sedang ia dalam keadaan beriman,

maka mereka akan masuk
syurga , mereka diberi rezeki di dalamnya
tanpa
dihisab.
(surah Al Mu'min ; ayat 39-40)

moga dapat manfaat bersama..

13:44

asalamualaikum

Posted by Ahmad Tauffik Ag Laiman AT TAMAUE

tgh dalam proses