di sana pasti

Esok pasti ada tetapi esok belum pasti untuk kita. Beringat-ingatlah untuk menghadapi esok yang pasti mendatang.



03:13

PESAN LUHUR

Posted by Ahmad Tauffik Ag Laiman AT TAMAUE



Hari sangatlah syahdu pesan luhur kini damai bermula.
Nabi isytihar khabar bahaya, murba wajar bersedia.
Setiap lelaki ranum dikerah agar tabah waspada,
sebab, musuh Islam berlagak—seteru wajib disanggah.

Ke mana arahnya tak dihurai—dulu, memang rahsia;
kini tak begitu ia—matlamat peta jelas didedah.
Bakal payah kembara nanti; musuh pasukan yang mendera.
Ketahuilah ini dulu, bersedia hadap angkara.

Kaab bin Malik sedang santai di kota indah Medina;
cuaca harum dan damai, musim buahan puncak suburnya.
Tapi, perintah qudus Nabi tetap mengatasi segala.
Khidmat lain dihenti, sokongan sepadu ke Rasulullah.

Bergerak tak terasa enak, musim genting kini menyala;
bertindak menggugah tentera Roma—musuh paling durjana.
Islam sangat suci, ayat-ayat wangi mengharumi Ummah;
nyawa sedia direla—perjuangan qurbani para syuhadah.

Di merata wira bersedia—sangat berani dan garang.
Kaab ampunya dua unta bersedia ke medan perang.
Tak gentar dirinya; sedang sesantainya ia berkelana.
mesra muhibbah, di celah pohonan, hasrat qalbu terindah.

Rombongan Nabi yang bersedia belum berangkat rupanya,
maka Kaab bersantai dulu dalam iklim belum membara.
Maklumlah, ke medan tempor amat biasa baginya
sejak malam Janji Aqabah—cuma ke Badar tergendala.

A Samad Said

03:23

KAMI TETAP GEMBIRA

Posted by Ahmad Tauffik Ag Laiman AT TAMAUE


kami penutut sabah mesir mengucapkan selamat menyambut aidil adha buat keluarga yang berada di kampung halaman.

04:07

HIKMAH IBADAH KORBAN

Posted by Ahmad Tauffik Ag Laiman AT TAMAUE



Hari raya Aidiladha merupakan salah satu dari hari kebesaran dan perayaan bagi seluruh umat Islam.

Anas bin Malik r.a berkata: Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lali baginda bersabda:

إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الأَضْحَى وَيَوْمَ الْفِطْرِ

Maksudnya:
“Sesungguhnya ALLAH telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” - Hadis riwayat al-Nasaai, di dalam Sunan al-Nasa’i, hadis no: 959.

Aidiladha juga diberi gelaran sebagai hari raya haji kerana ia diraikan ketika umat Islam mengerjakan salah satu dari amal ibadah yang termasuk di dalam rukun Islam yang lima, iaitu ibadah haji. Di samping itu, Aidiladha juga dikenali sebagai hari raya korban kerana antara syiar semasa merayakannya adalah mengorbankan haiwan seperti unta, lembu, kambing dan biri-biri.

Ibadah korban dilakukan sempena memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s yang sanggup menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail a.s kerana taat kepada perintah ALLAH. Namun, berkat kesabaran serta ketaatan kedua-dua ayah dan anak ini maka ALLAH telah menggantikannya dengan seekor binatang ketika Nabi Ibrahim sudah bersedia menyembelih anaknya itu. Peristiwa ini telah dirakamkan oleh ALLAH sebagaimana firman ALLAH S.W.T:

“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku akan menyembelihmu. Apakah pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya ALLAH, ayah akan mendapati aku termasuk orang-orang yang sabar.
Setelah kedua-duanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah ALLAH itu), Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah. (KAMI sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah KAMI).

Lantas KAMI menyerunya: Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya KAMI membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.
Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata dan KAMI tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar serta KAMI kekalkan baginya (nama yang harum) di kalangan orang-orang yang datang terkemudian.” – Surah al-Soffaat: 101-108.

Rentetan dari peristiwa ini, saban tahun ketika merayakan hari raya Aidiladha maka umat Islam menyembelih binatang-bintang korban lalu mengagih-agihkannya kepada golongan yang kurang bernasib-baik seperti orang miskin, anak yatim, orang Islam yang sedang ditimpa musibah dan lain-lain lagi.

KEUTAMAAN MENGERJAKAN IBADAH KORBAN

Ibadah korban ini memiliki keutamaan yang begitu besar bagi mereka yang mengerjakannya.

Firman ALLAH S.W.T:

“Dan KAMI jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar agama ALLAH untuk kamu; pada menyembelih unta itu ada kebaikan bagi kamu. Oleh itu, sebutlah nama ALLAH (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya. Setelah ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah KAMI memudahkannya untuk kamu (menguasai dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.

Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada ALLAH. Tetapi, yang sampai kepada-NYA ialah amal yang ikhlas berdasarkan takwa daripada kamu. Demikianlah DIA memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan ALLAH kerana mendapat nikmat petunjuk-NYA. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.” – Surah al-Haj: 36-37.

Melalui ayat di atas dapat kita senaraikan beberapa keutamaan ibadah korban seperti berikut:

1) Ibadah korban dapat membawa kebaikan dalam kehidupan bermasyarakat dengan mempereratkan hubungan kasih sayang antara golongan yang kurang bernasib baik seperti golongan fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal dan seumpamanya dengan golongan yang bernasib baik melalui pengagihan daging-daging korban.

2) Ibadah korban berupaya membentuk insan yang bersyukur melalui penyembelihan haiwan korban yang dilakukannya dengan menggunakan hasil rezeki tersebut dalam rangka beribadah dan mendekatkan diri kepada ALLAH.

3) Ibadah korban dapat membentuk jiwa yang ikhlas kerana sejumlah wang ringgit telah dibelanjakan demi mendapat keredhaan ALLAH.

4) Ia juga merupakan bukti ketakwaan kita kepada ALLAH kerana menurut perintahnya.

5) Ibadah korban merupakan amalan mulia dan sesiapa yang menunaikan ibadah tersebut bakal mendapat ganjaran paling baik, iaitu syurga.

16:08

penampar sebagai jawapan

Posted by Ahmad Tauffik Ag Laiman AT TAMAUE



tersebut lah al kisah,Ada seorang pemuda yang lama belajar di
luar negeri, kembali ke tanah air.Sesampainya di rumah dia meminta kepada orang tuanya untuk mencari seorang guru agama, ust atau sesiapa sahaja yang boleh menjawab 3 pertanyaannya.Akhirnya orang tua pemuda itu mendapatkan orang tersebut,

Pemuda: siapa kau? Dan bolehkah tuan
menjawab pertanyaan- pertanyaan saya?

Ust : Saya hamba Allah dan dengan
izin-Nya saya akan menjawab pertanyaan anda.

Pemuda: tuan yakin? Sedangkan Profesor
dan ramai orang yang pintar tidak mampu
menjawab pertanyaan saya.ini kan lagi tuan

ust : Saya akan mencuba sejauh
kemampuan saya.

Pemuda: Saya ada 3 pertanyaan:-

1. Kalau memang Tuhan itu ada, tunjukan
wujud Tuhan kepada saya

2. Apakah yang dinamakan takdir

3. Kalau syaitan diciptakan dari api
kenapa dimasukan ke neraka yang dibuat
dari api, tentu tidak menyakitkan buat
syaitan. Sebab mereka memiliki unsur
yang sama. Apakah Tuhan tidak pernah
berfikir sejauh itu?

Tiba-tiba ust tersebut menampar pipi pemuda tadi dengan kuat..
pammm bertabur giginya

Pemuda (sambil menahan sakit): Kenapa
tuan marah kepada saya?

ust : Saya tidak marah...Tamparan itu
adalah jawapan saya atas 3 pertanyaan
yang anda ajukan kepada saya.

Pemuda: haaa jawapannya dengan penampar?
tambah bingung si pemuda itu.

Kiyai : iya penampar,Bagaimana rasanya
penamparan saya?

Pemuda: Tentulah saya merasa sakit.
( sambil mengusap2 pipinya

ust : Jadi anda percaya bahwa sakit itu ada?

Pemuda: Ya!

ust : Tunjukan pada saya wujud sakit itu!

ust : Itulah jawaban pertanyaan pertama anda...
kita semua merasakan kewujudan Tuhan tanpa mampu melihat

ust : Apakah malam tadi anda bermimpi akan ditampar oleh saya?

Pemuda: Tidak.

ust : Itulah yang dinamakan takdir.

ust : Terbuat dari apa tangan yang
saya gunakan untuk menampar anda?

Pemuda: Kulit.

ust : Terbuat dari apa pipi anda?

Pemuda: Kulit.

ust : Bagaimana rasanya tamparan saya?

Pemuda: Sakit.

ust : Walaupun syaitan dijadikan dari api dan neraka juga terbuat dari api,
jika Tuhan menghendaki maka neraka akan menjadi tempat yang menyakitkan untuk syaitan.







16:13

HIDUP TERLALU SINGKAT UNTUK MEMBENCI

Posted by Ahmad Tauffik Ag Laiman AT TAMAUE


Ah, terlalu sukar untuk memberi maaf. Bahkan lebih sukar daripada meminta maaf. Masih terasa tusukan rasa bagaikan sebuah dendam yang membara. Masih terngiang-ngiang segala kata. Masih terbayang semua tingkah dan perlakuan. Wajah 'orang-orang bersalah' itu terasa begitu menjengkelkan. Memberi maaf kepada mereka seolah-olah menggadaikan harga diri. Ah, apakah maruah ini terlalu murah untuk di sorong tarik dengan harga yang rendah? Dan cukup sakit, apabila mengenangkan 'musuh-musuh' itu tersenyum dengan kemenangan.

Namun, itu hanya bisik 'hati besarku'. Yang melantunkan suara ego dan marah. Kesat dan kesumat. Tetapi jauh dari dalam diri...ada suara lain yang bergetar. 'Hati kecil' yang tidak jemu-jemu mengingatkan. Suara tulus yang mendamaikan gelombang jiwa. Bisik telus yang meredakan amukan rasa.Maafkan, lupakan...cintai, sayangi...Berperang dengan mereka bererti berperang dengan diri sendiri. Begitu bisik hati kecil itu selalu.

Pada sebuah persimpangan rasa, tiba-tiba hati disapa oleh sebuah firman:
"Tolaklah kejahatan dengan sebuah kebaikan.Nescaya engkau
akan mendapati musuhmu akan menjadi seolah-olah saudara"

Wahai diri,api jangan dilawan dengan api. Nanti bakarannya akan membakar diri sendiri. Menyimpan dendam sama seperti membina sebuah gunung berapi di dalam hati. Semakin besar dendam itu, maka semakin sakit hati yang menanggungnya. Musuh-musuh mu terus ketawa, sedangkan kau sendiri menderita meneguk bisa.

Musim-musim terus berlalu sewajarnya mendewasakan aku. Pengalaman lampau sentiasa membuktikan bahawa permusuhan hanya akan memberi kepuasan sementara. Apabila 'fatamorgana' itu berlalu. Aku akan menjadi lebih dahaga daripada sebelumnya. Apakah akan ku terjah perangkap itu berkali-kali? Oh,tidak. Mukmin tidak akan terperosok dalam lubang yang sama dua kali. Begitu maksud sebuah sabda. Justeru? Cukup sekali!

Biarlah musuh itu ketawa sepuas-puasnya. Beban rasa ini biarlah aku letakkan. Tidak akan ku bawa dalam safar kehidupan yang pendek ini. Hidup terlalu singkat untuk membenci. Bermusuh dengan orang lain, sama seperti bermusuh dengan diri sendiri. Memaafkan orang lain,sama seperti memaafkan diri sendiri. Kata bijak pandai:
"Apa yang kita berikan akan kita terima kembali"

Ah, betapa leganya sekarang...Benarlah bahawa kebaikan itu tampak sukar untuk dilaksanakan. Pahit. Sakit. Tetapi apabila dilaksanakan akan terasa kemanisannya. Manakala kejahatan itu tampak mudah, indah dan manis. Namun apabila dilakukan, pasti ada kekesalan, kepahitan dan keresahan. Ketika ini terasa benar apa yang selalu didengar di dalam tazkirah - yang punya tabsyir dan inzar - bahawa dosa itu sesuatu yang meresahkan. Dendam itu dosa. Memaafkan itu pahala. Memaafkan menjemput datangnya 'syurga' yang fana, sebelum syurga yang baqa'.

Kini hatiku tertanya-tanya lagi...siapa aku, yang begitu sukar memaafkan? Tuan? Tuhan. Aku hanya hamba. Sedangkan DIA Sang Pencipta itu Maha Pemaaf, Maha Pengampun, siapa aku yang kerdil ini untuk terus berdendam? Ya ALLAH, ampunkan aku. Sengaja atau tanpa sengaja, sering atau kekadang...aku 'terlanjur' menumpang hak-MU..

23:51

PADAH BURUK SANGKA

Posted by Ahmad Tauffik Ag Laiman AT TAMAUE



Malam itu gerimis turun. Angin pun bertiup sungguh sangat dingin. Tapi kedua suami isteri yang tinggal di sebuah rumah kecil itu berkeinginan betul hendak keluar juga. Kerana ibu si suami itu dalam keadaan sakit tenat, mungkin hanya tinggal menunggu waktu saja. Hanya yang sangat merisaukan hati mereka, bagaimana dengan anaknya amira, anak mereka yang baru saja berumur empat bulan. Kalau diajak pergi takut masuk angin dan dapat berakibat sakit.

“Bagaimana nor ubaidah, kita bawa saja Amira ?” Tanya si suami.

“Jangan bang, angin kencang,” cegah isterinya.

“Habis siapa yang akan menjaganya di rumah? Apakah mungkin akan kita tinggalkan dia sendirian? Aku tak sanggup, sebab rumah kita ini terlalu dekat dengan tanah perkuburan,” kata si suami.

“Ah, abang, janganlah berfikir yang bukan-bukan,” kata isterinya yang cantik dan manis itu. “kan ada etoi (kucing) di rumah. Dia saja kita suruh menjaga amira.” Kata si isteri.

“Betul juga, mengapa aku tidak ingat pada si etoi.” Balas suaminya dengan gembira.

“Meoww....” teriaknya kemudian. Maka terdengarlah suara Etoi membalas suara tuannya itu. Lalu dengan langkah-langkah kecil dia mendekati tuannya.

“Wahai Etoi, malam ini engkau tidak usah menjaga lumbung padi dari dimakan oleh tikus-tikus, kami berdua mahu pergi, oleh kerana itu jagalah si amira,” kata si suami.

Kucing yang cantik itu mengeong sambil mengibas-ngibaskan ekornya. Kalau boleh berkata dia akan menjawab: “Jangan bimbang tuan, saya akan menunggu dan menjaga si amira supaya dia tidur dengan nyenyak. Tidak akan saya izinkan seekor nyamuk pun hinggap di tubuhnya.”

Setelah berpesan begitu, maka pasangan suami dan isteri itu pun berangkat dengan perasaan lega. Mereka tahu bahawa Etoi akan melakukan pekerjaannya dengan baik, sebab dia adalah seekor kucing yang sangat setia dengan majikannya.

Setelah melihat majikannya sudah pergi, maka etoi dengan cepat dan diam-diam melompat ke atas tempat tidur. Ia duduk di sebelah si amira yang tengah mendengkur dengan nyenyaknya. Ekornya dikibas-kibaskannya agar tidak seekor nyamuk pun yang berani mengganggunya. Matanya dengan tajam mengawasi sekelilingnya, sementara kedua kaki depannya siap mencakarkan kukunya kepada siapa saja yang berniat untuk mengusik ketenangan majikan kecilnya.

Menjelang pukul sepuluh malam, tiba-tiba kucing itu mendengar bunyi mendesis dari bawah tempat tidur. Dengan secepat mungkin Etoi memasang kuda-kuda serta siap untuk menghadapi segala kemungkinan. Matanya tiba-tiba terbeliak terkejut dan marah, ketika melihat sebuah mulut yang ternganga dengan taring dan lidah yang menjulur panjang. Rupanya dia adalah seekor ular besar yang sudah siap untuk menelan amira yang masih kecil itu.

Dengan cepat kilat Etoi melompat, giginya langsung masuk menikam ke leher ular tersebut, dan cakarnya menyerang dengan buas. Ular itu murka kerana niatnya dihalang-halangi oleh Etoi. Matanya merah seperti besi terbakar. Dia membalas menyerang dengan hebat. Badan Etoi dibelit dengan kuat, sambil mulutnya mematuk-matuk muka etoi.

Etoi hampir kehabisan tenaga, kerana dibelit oleh ular besar itu, manakala mukanya pun telah berlumuran darah. Namun dia tidak mahu binasa sebelum dapat membunuh ular tersebut. Dengan segala kemampuan dan menahan kesakitannya, ia berusaha untuk menyelamatkan nyawa anak tersayang kedua majikannya itu. Akhirnya ia berhasil melepaskan diri, lalu dengan cepat menerkam leher ular itu. Digigitnya leher makhluk jahat tersebut sekuat tenaga sehingga akhirnya matilah musuhnya itu.

Begitu dilihatnya binatang pengganggu itu sudah tergolek kaku, barulah etoi dengan sisa-sisa tenaganya naik lagi ke atas tempat tidur si Amira dan duduk semula di samping si Amira. Anak kecil itu masih tertidur dengan nyenyak. Etoi menjilat-jilat lukanya, sementara rasa pedih dan letih terasa sekujur badannya. Mulutnya masih penuh dengan darah ular tadi, sedangkan pada mukanya terdapat luka-luka yang parah.

Belum pulih lagi tenaganya, akan tetapi secara tiba-tiba dia mendengar suara majikannya di halaman rumah. Dengan gerakan yang lemah dan lunglai, Etoi turun dari tempat tidur. Perlahan-lahan ia berjalan menuju ke pintu, menyambut kedatangan kedua majikannya yang sangat dicintainya itu. Dilihatnya ibu Amira berjalan menunduk sambil terisak-isak. Bapanya pula terlihat sangat sedih. Etoi pun ikut berdukacita memperhatikannya.

Mereka berbimbingan tangan dengan romantiknya memasuki halaman rumah. Ketika mereka tiba di depan pintu, Etoi berbunyi lembut: “meoww...., meoww...., sambil terhuyung-hayang mendekati majikannya.

Tiba-tiba saja ibu Amira menjerit, “Bang....! Amira bang....!”

Suaminya terperanjat tapi tidak mengerti, “Mengapa Amira, Nor ubaidah?” Tanya suaminya.

“Lihatlah si Etoi, mulutnya berlumuran darah. Pasti anak kita telah diterkam dan dibunuhnya. Oh, Amira.... anak kita, bang. Bunuh Etoi, bang! Ia telah memakan anak kita!” Kata si isteri.

Si suami baru tahu apa yang dimaksudkan oleh isterinya. “Betul! Mulut Etoi penuh dengan darah segar, pasti Amira telah diterkamnya.”

Tanpa berfikir panjang, si suami lalu mengambil besi. Dengan penuh kemurkaan lalu dipukulnya benda keras itu ke tubuh si Etoi. Kucing itu menjerit; “meowwwww....” Lelaki itu bertambah marahnya lagi, lalu diambilnya pula sebuah batu, dihentaknya ke kepala Etoi.

Maka bercucuranlah darah dari kepala binatang yang tidak berdosa itu. Badannya terkejang-kejang. Dari matanya mengeluarkan air mata yang jernih satu-satu. Setelah mengeong untuk terakhir kalinya, kucing yang cantik itu pun menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Melihat korbannya sudah mati, maka pasangan suami isteri itu terburu-buru masuk ke bilik. Alangkah terkejutnya mereka ketika melihat suasana bilik itu. Yang nampak pertama kali di depan pintu adalah bangkai seekor ular besar yang hampir putus lehernya. Maka dengan hati berdebar-debar mereka berlari ke tempat tidur. Ternyata anaknya Amira masih tetap dalam keadaan tertidur nyenyak.

Barulah mereka dapat meneka apa yang telah terjadi selama mereka tidak berada di rumah tadi. Bukan Etoi yang bersalah, ternyata kucing itu telah berjuang mati-matian untuk menyelamatkan anak mereka. Seketika itu juga pucatlah wajah mereka. Mereka menyesal teramat sangat. Ternyata Etoi adalah kucing yang tetap setia. Dia tidak mempedulikan keselamatan dirinya asalkan tugas yang dipercayakan kepadanya ditunaikannya. Kalau perlu dirinya sendiri menjadi korban untuk menyelamatkan nyawa majikan kecilnya. Namun balasan yang diterimanya bukan belaian kasih sayang dan terima kasih, akan tetapi nyawanya dihabiskan dengan penuh kekejaman.

Suami isteri itu menangis tersedu-sedu menyesali kesalahannya, ia bertaubat kepada Allah SWT serta berjanji untuk tidak lagi berbuat semena-mena terhadap binatang yang tidak berdosa, tanpa periksa terlebih dahulu. Bangkai Etoi diangkat dan diciumnya, tapi yang sudah pergi tidak akan kembali, dan penyesalan mereka juga sudah tidak bererti, kerana yang sudah mati itu tidak akan hidup lagi. Cuma sebagai pedoman atau pengajaran buat masa yang akan datang.



Terlajak perahu boleh di undur,
Terlajak prasangka diri terkubur,
Jika bukti masih kabur,
Kajilah ia dengan teratur,

03:57

PERJUANGAN

Posted by Ahmad Tauffik Ag Laiman AT TAMAUE




Kita umat Islam hendaklah ingat, perjuangan kita adalah untuk
menegakkan kalimah Allah. Jangan lupa keadaan ini walau di dalam keadaan
susah atau senang. Kita mesti perjuangkan kalimah Allah ini walau di dalam
keadaan yang bagaimana sekalipun. Suasana dan keadaan yang berlaku hanya
seperti perubahan-perubahan cuaca bagi bagi manusia. Yang penting manusia
akan dapat terus hidup di dalam apa bentuk cuaca sekali pun. Yang penting
umat Islam dapat hidup di dalam apa juga suasana dan keadaan sekalipun.

Sekiranya anda berada di dalam limpahan rezeki berbentuk harta dan
wang yang melimpah-limpah, jangan lupa perjuangan kita adalah perjuangan
mendaulatkan kalimah Allah. Jikalau kita berada di dalam keadaan terhimpit
dan tertekan, jangan lupa perjuangan kita adalah untuk menegakkan kalimah
Allah. Begitu juga kalau kita sebagai penguasa dan pemerintah di atas muka
bumi ini, jangan lupa perjuangan kita adalah untuk menegakkan kalimah Allah.

Perjalanan hidup merubah suasana manusia adakalanya miskin,
adakalanya kaya. Ada ketika menjadi kaum muslimin yang tertindas dan pada
waktu yang lain menjadi penguasa-penguasa alam. Perjalanan hidup ini tidak
sepatutnya mengubah cita-cita perjuangan mendaulatkan kalimah Allah. Ada
orang yang lupa dengan cita-cita mendaulatkan kalimah Allah setelah dia
menjadi kaya raya. Ada yang lupa untuk menegakkan kalimah Allah kerana
sangat sempit kehidupannya. Ada yang lupa kerana mendapatkan isteri yang
cantik. Ada orang yang meninggalkan cita-cita menegakkan kalimah Allah ini
setelah banyak diuji dengan berbagai ujian.

Kita perlu ingat bahawa seseorang Islam itu tidaklah mulia kerana dia
kaya, menjadi orang yang berharta,menjadi penguasa dan ternama. Dan tidak
pula menjadi hina kerana miskin atau dibenci atau dibuang orang keluar
negerinya. Tetapi seorang muslim itu mulia kerana jihad dan perjuangannya
menegakkan kalimah Allah.

Kekufuran tidak perlu diperjuangkan kerana ia ibarat sampah sarap
atau sisa buangan. Ia akan sentiasa ada sepanjang zaman. Tetapi Islam mesti
diperjuangkan oleh pendukungnya. Jikalau di dalam golongan kuffar, terdapat
golongan kaya, di dalam golongan muslim juga ada golongan kaya. Jikalau di
dalam golongan kuffar ada golongan muslim, golongan muslim juga ada yang
miskin. Jikalau di dalam golongan kuffar itu ada pemimpin, di dalam golongan
Islam juga ada pemimpin. Jikalau di dalam golongan kuffar itu ada ramai
pengikut, golongan Islam juga punyai ramai pengikut. Yang membezakan
golongan kuffar dan muslim adalah cita-citanya di dalam menegakkan ideologi
di atas muka bumi ini. Seorang muslim yang sejati ialah mereka yang sentiasa
terus menerus berjuang menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini di
dalam apa keadaan dan suasana sekalipun.

Berpegang teguh pada perjuangan menegakkan kalimah Allah inilah yang
akan mengumpulkan kita dengan ilmu, kumpul sahabat, kumpul semangat, bina
ukhuwwah dan persaudaraan, bina ekonomi dan kemajuan, bina kesedaran, bina
sistem pendidikan, bina insan dan segala-galanya. Semua itu perlu kita
laksanakan kerana hendak mencapai cita-cita mendaulatkan kalimah Allah.
Semuanya ini adalah alat untuk mencapai matlamat mendaulatkan kalimah Allah.
Mari kita bangunkan ekonomi untuk daulatkan kalimah Allah. Mari kita kuatkan
ukhwah dan persaudaraan di dalam menegakkan kalimah Allah. Mari kita tambah
ilmu, bina semangat kerana hendak menegakkan kalimah Allah. Mari kita beri
kesedaran kepada masyarakat kerana hgendak menegakkan kalimah Allah. Pendek
kata apa sahaja yang kita lakukan adalah untuk mendaulatkan hukum hakam
Allah di atas muka bumi ini.

Lihatlah betapa banyaknya hukum Allah yang masih tidak dilaksanakan
di atas muka bumi ini sama ada pada diri, keluarga atau masyarakat. Siapa
yang hendak dipersalahkan dan kepada siapa hendak dipertanggung jawabkan.
Bukankah kepada kita semua ?

Ayuh ! bangun berjuang. Kalau kita tidak mahu berjuang mendaulatkan
hukum hakam Allah, besar kemungkinan akan berlaku dua perkara : Pertama
hukum-hukum thagut akan terus mengongkong anda seumur hidup atau Kedua:
Allah akan gantikan dengan golongan muslimin yang lebih baik dari kita untuk
menegakkan kalimah Allah. Mahukah kita jadi hina kerana tidak berjuang ?
Orang yang tidak mahu berjuang sama seperti lelaki yang rumahnya dimasuki
perompak dan kerana tidak berani membela dan melawan maka anak isterinya
dirogol dihadapan mata sendiri. Dia pasti tidak akan lupakan peristiwa itu
seumur hidup. Peristiwa itu pasti akan menghantui fikirannya. Dan dia akan
berkata : "Lebih baik aku mati daripada menanggung hina sebegini rupa."
Padahal jikalau dia membela anak dan isterinya diwaktu itu dan dia mati,
maka matinya adalah mati yang mulia. Demikianlah tamsil bagi seorang muslim
yang tidak mahu berjuang menegakkan kalimah Allah ketika orang-orang yang
menyeleweng telah cuba merobohkan agama Islam yang kita cintai ini.

Sebenarnya orang muslim yang tidak mahu berjuang, tidak ada niat
untuk berjuang atau membenci perjuangan mendaulatkan kalimah Allah, lebih
baik daripada hidup. Kalau hidup pun tiada gunanya., kerana sama dengan
mayat-mayat yang bergelimpangan sahaja. Dia akan semakin reput dan membusuk.
Kereputan itu berlaku di dalam kerajaan-kerajaan Islam yang besar-besar satu
ketika dahulu kerana kerajaan itu diwariskan kepada orang-orang yang jiwanya
pengecut dan tidak mahu berjuang. Perlu diingat, perjuang itu bukan hanya
dengan slogan dan petikan. Atau menamakan parti kita parti Islam. Tetapi
perjuangan itu ialah berbuat kebiakan dan kebajikan dan menegakkan
hukum-hukum Tuhan di dalam diri kita, keluarga, masyarakat dan negara.
Berbuatlah, nanti Allah akan menilai, Rasul akan merestui dan orang mukmin
akan membantu.

Kini dunia Islam telah menjadi bangkai reput, telah membusuk
dagingnya dan telah tanggal tulang-tulangnya. Dia akan menjadi tanah, tempat
pemakaman sejarah dan peristiwa. Di atas pemakaman sejarah dan peristiwa
inilah kita tanam pohon-pohon Toiyyibah yang baru. Pohon-pohon Toiyyibah
yang akan diawasi oleh pejuang-pejuang muda yang gigih dan perkasa. Saya
harap andalah pejuang-pejuangnya itu. Ayuh bangunlah bersama-sama demi
menegak dan mendaulatkan kalimah Toyyibah, kalimah La ilaha illa Allah
Muhammad Rasulullah.

memperjuangkan satu perjuangan yang bukan berlandaskan islam, wajib ke atas kita untuk memeranginya dan memerangi perjuangan untuk menegakkan kalimah La ilaha illa Allah Muhammad Rasulullah bermakna mencabar kerajaan Allah S.w.t.