di sana pasti

Esok pasti ada tetapi esok belum pasti untuk kita. Beringat-ingatlah untuk menghadapi esok yang pasti mendatang.



07:56

Kejayaan Menuntut Pengorbanan

Posted by Ahmad Tauffik Ag Laiman AT TAMAUE



Semua manusia amat mengidamkan kehidupan yang penuh dengan kegembiraan. Kalau boleh sepanjang hidup tidak mahu susah sedikit pun, biar hidup sentiasa dalam keadaan riang gembira.
Kejayaan dalam hidup menuntut pengorbanan. Setiap pahit getir kehidupan perlu dilalui untuk dijadikan pengalaman. Pengalaman inilah yang banyak mengajar kita untuk hidup seterusnya agar saat-saat kedukaan atau kepahitan hidup dapat menjadikan kita seorang yang tabah. Pengalaman menjadikan manusia lebih berhati-hati dalam hidup agar kehidupan selepas ini lebih beerti lagi.
Ada juga manusia yang tidak serik dengan pengalaman lepas. Ia tidak dijadikan sempadan hidup. Ia masih lagi menempuh norma-norma hidup yang menjerumuskannya ke alam kekecewaan. Putus asa dengan Rahmat Allah menyebabkan hati keras untuk kembali ke pangkal jalan, lalu mengekalkan diri dalam maksiat.
Kejayaan dunia atau akhirat amat menuntut pengorbanan. Pengorbanan dari segala sudut. Banyak peluh dan air mata akan tumpah. Banyak masa akan habis. Banyak tenaga yang akan digembeling. Wang ringgit, harta kekayaan, kaum keluarga, hatta diri sendiri mesti sanggup dikorbankan demi menebus sebuah kejayaan.
Hasil kejayaan dunia akan hanya menampakkan kemewahan hidup zahir. Walhal kejayaan di akhirat lebih besar dan abadi jarang sekali manusia mengejarnya kerana kurang yakin dengan janji Allah. Memang ganjaran Allah tidak nampak. Memang nikmat Allah amat sedikit sekali yang mensyukurinya. Bila Allah terbalikkan dunia ini, baru manusia akan sedar, "Engkaulah Tuhan yang patut disembah. Aku ini hanya hamba yang dhaif".
Orang mukmin memang miskin harta tetapi kaya dihati. Kehambaan kepada Allah menjadikan seseorang itu merasai sentiasa puas dengan pemberian Allah. Kalau dapat nikmat sentiasa bersyukur, kalau derita dan kepayahan yang melanda, dia tidak mudah berputus asa bahkan sabar kerana dia yakin semua itu ujian dari Allah.
Menyedari diri kita sebagai hamba Allah adalah merupakan kejayaan yang sangat besar. Bukan mudah memiliki hati yang demikian di saat-saat ramai manusia yang lalai dengan dirinya, sering menganggapkan dirinya tuan.
Sebab itu ramai yang berjalan mendabik dada, bercakap besar, meninggi diri, kasar, sombong dengan orang lain. Nafsu sentiasa membisikkan, "Orang lain tidak layak berada disampingku. Aku mempunyai status dan kedudukan". Orang lain dipandang hina dan kecil.
Sebenarnya kitalah orang yang paling gagal dan merada dalam kerugian tanpa kita sedari. Di dunia kitalah orang yang paling bahagia, kaya, kejayaan hidup berada didalam tangan. Tapi di hadapan Allah kelak, kitalah semuflis-muflis orang yang akan di hinakan oleh Allah dengan minuman air danur yang menggelegak dan makan buah zakum yang berduri bagi penghuni neraka. Barulah mula kenal siapa diri ini di sisi Allah. Jesteru marilah kita menilai diri kita dan membuat muhasabah bagi memastikan diri kita berada dilandasan yang diredhai oleh Allas SWT.

0 comments:

Post a Comment